Tun M Desak Dunia Hentikan Genosid Israel, Seru PBB Hantar Pasukan Pengaman Ke Palestin

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa semua pemimpin dunia bangkit menentang kekejaman Israel yang disifatkannya sebagai genosid paling tidak berperikemanusiaan dalam sejarah moden.

Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook beliau hari ini, Dr Mahathir menegaskan sudah tiba masanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggerakkan pasukan pengaman antarabangsa bagi melindungi rakyat Palestin yang terus menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai.

“Saya merayu, menuntut dan mendesak seluruh pemimpin dunia menghentikan cubaan keji Israel dan Amerika Syarikat untuk merampas Gaza,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, tindakan Israel terhadap Palestin tidak mempunyai sebarang alasan atau justifikasi, malah jelas bertentangan dengan nilai kemanusiaan, hak asasi manusia dan kebebasan yang menjadi asas dunia bertamadun.

“Namun kita masih membiarkan Israel memijak semua prinsip itu dengan angkuh serta penuh penghinaan terhadap moral dan tamadun manusia,” tegasnya.

Beliau menambah, penindasan terhadap rakyat Palestin telah berlanjutan lebih tujuh dekad sejak penubuhan Israel yang menjadi punca ketidakstabilan di Asia Barat.

Malah, katanya, bangsa Yahudi yang pernah dizalimi Nazi kini mengulangi sejarah dengan menindas bangsa lain tanpa mengambil sebarang pengajaran daripada pengalaman lalu.

Dr Mahathir turut menyatakan terdapat sedikit harapan apabila semakin banyak negara Eropah menunjukkan sokongan terhadap Palestin, termasuk langkah mengiktiraf negara itu secara rasmi.

“Langkah tersebut bermaksud mereka akhirnya mengakui berlakunya genosid terhadap rakyat Palestin dan ia mesti dihentikan,” jelasnya.

Namun, beliau kecewa dengan pendirian Amerika Syarikat (AS) yang terus menyebelahi Israel, termasuk menghalang Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, daripada menghadiri Perhimpunan Agung PBB selepas menolak permohonan visanya.

“Tindakan itu jelas mengkhianati janji AS bahawa semua pemimpin dunia berhak menghadiri sidang PBB di New York,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, niat sebenar rejim Zionis tidak lain hanyalah untuk menghalau rakyat Palestin dari tanah air mereka, dan jika gagal, matlamat seterusnya adalah menghapuskan bangsa Palestin sepenuhnya.

BBerkaitan

Latest articles