Tun M Dedah Perincian Usul Undi Tak Percaya Terhadap Muhyiddin

 

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa usul undi tak percaya yang dikemukakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat sebelum ini adalah kerana tindakan perdana menteri itu bergabung membentuk kerajaan dengan ‘bekas musuh’ sehingga menyebabkan rakyat semakin hilang kepercayaan.

Dr Mahathir mempersoalkan langkah Muhyiddin bekerjasama dengan Umno, yang mana parti itu sebelum ini dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak yang kini berdepan dengan beberapa pertuduhan.

“Saya tidak dapat terima cadangan ini kerana Najib dan UMNO yang telah merosakkan negara akan kembali jadi sebahagian daripada Kerajaan. Ini mengkhianati rakyat yang mengundi kita.

“Saya sedia terima ahli Umno yang sudah keluar dari Umno untuk menjadi ahli Bersatu dengan syarat. Tetapi kata (presiden parti) Zahid Hamidi, Umno hanya akan sertai gabungan en-bloc sebagai parti dan bukan sebagai ahli,” katanya dalam perincian usul itu yang dimuatnaik di blognya, Che Det dan disiarkan juga menerusi akaun media sosialnya.

Bekas pengerusi Bersatu itu kemudiannya mendakwa perpecahan parti yang ditubuhkan pada 2016 itu berpunca daripada tindakan Muhyiddin, selain menyifatkan kaedah Ahli Parlimen Pagoh itu untuk naik sebagai perdana menteri sebagai memalukan.

“Cara Muhyiddin kejar jawatan perdana menteri ialah dengan menipu rakyat dengan janji memperjuang cita-cita mereka.

“Apabila Muhyiddin jadi perdana menteri maka kuasa disalah guna untuk mendapat sokongan dengan menawar jawatan-jawatan yang bergaji tinggi kepada sesiapa yang ikrar menyokongnya. Jika jawatan sudah tidak ada lagi, maka dicipta jawatan baru bertaraf menteri kepada penyokong.

“Mereka yang tidak sanggup sokong, dilucut keahlian dan jawatan sehingga di peringkat ketua cawangan pun.

“Perbuatan ini melanggar undang-undang tubuh parti kerana selain dari tidak sokong Muhyiddin mereka tidak langgar apa-apa peraturan parti,” katanya lagi.

Tindakan Dr Mahathir menyiarkan usul undi tidak percaya ini kepada umum akibat merasakan ia tidak akan dibentang di Dewan Rakyat.

Sebelum ini sudah dua kali usul itu dibawa ke Dewan Rakyat namun diletakkan di akhir sidang.

“Usul kerajaan didahulukan sehingga tidak ada masa untuk usul saya dibahas. Dengan cara ini sampai bila-bila pun usul saya tidak akan dibincang dalam dewan.

“Oleh kerana saya tidak mungkin kemukakan usul saya dalam parlimen, maka saya terpaksa siar usul ini dalam blog untuk tatapan orang ramai,” kata pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu lagi.

Lebih lanjut, Dr Mahathir turut membangkitkan dakwaan Muhyiddin bahawa DAP akan menghancurkan kaum Melayu sekiranya Pakatan Harapan (PH) terus berkuasa sebagai kerajaan.

Ahli Parlimen Langkawi itu menyifatkan tuduhan sedemikian sebagai ‘tidak masuk akal’.

“Jika DAP cuba hancurkan orang Melayu, ahli parlimen Pagoh sebagai menteri dalam negeri pada masa itu boleh batalkan pendaftaran parti itu dan haramkan aktiviti mereka.

“Tetapi Muhyiddin kononnya percaya DAP boleh hancur orang Melayu. Caranya untuk elak kehancuran ialah dengan menjatuh Kerajaan Pakatan Harapan dan membentuk kerajaan campuran dengan Umno dan PAS,” demikian menurutnya.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,790FollowersFollow
20,800SubscribersSubscribe

Terkini