KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan semula.
Menurut Dr Mahathir, langkah itu perlu bagi membuktikan sama ada Anwar benar-benar memiliki sokongan rakyat atau hanya bergantung kepada sokongan politik yang dibentuk menerusi kompromi dan tekanan.
“Anwar bukan pilihan rakyat untuk menjadi Perdana Menteri. Dia jadi PM kerana menghentikan perbicaraan seorang pemimpin supaya partinya menyokong beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada komposisi kerajaan perpaduan yang dibentuk selepas PRU ke-15 lalu, yang menyaksikan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri walaupun tiada satu parti memperoleh majoriti mutlak.
Mengulas mengenai kehadiran peserta ke Himpunan Turun Anwar yang diadakan pada Sabtu lalu, Dr Mahathir membidas kenyataan penyokong kerajaan yang mendakwa jumlah kehadiran hanya sekitar 15,000 orang.
“Kalau benar hanya sedikit yang hadir, mengapa takut? Dengan PRU, Anwar akan tahu sendiri rakyat sokong dia atau tidak. Kalau yakin ada sokongan, bubarlah Parlimen sekarang,” katanya lagi.
Dalam nada sinis, Dr Mahathir turut mendakwa kononnya ramai Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan hari ini berbuat demikian kerana tekanan politik dan ketakutan, bukan kerana sokongan tulen terhadap Anwar.
“Ada antara penyokong Anwar akan dipenjara jika tidak diselamatkan olehnya. Ada juga yang akan hilang peruntukan jika enggan menyokong beliau. Mereka tidak bebas,” dakwanya.
Tambah beliau, situasi itu menyebabkan sebarang cubaan membawa usul undi tidak percaya terhadap Anwar dalam Dewan Rakyat hampir mustahil untuk berlaku.
“Sebab itu Anwar berani ajak bawa usul tidak percaya, sebab dia tahu semua orang takut. Ahli UMNO yang hadir ke perhimpunan pun sudah diberi amaran,” katanya lagi.