Tun M bantah kerajaan selesai saman Apandi di luar mahkamah

CYBERJAYA – – Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa terkejut dan tidak bersetuju, terhadap langkah kerajaan menyelesaikan kes saman bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, terhadap dirinya dan kerajaan di luar mahkamah.

Bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, menjelaskan sebagai defendan dan saksi utama kes berkenaan, beliau tidak diberitahu mengenai penyelesaian berkenaan.

“Saya menulis pada Peguam Negara. Saya tidak bersetuju dengan cara penyelesaian dibuat. Saya berasa kerajaan tidak sepatutnya tunduk, memandangkan tindakan penamatan perkhidmatan Apandi dibuat mengikut semua urusan dan kuasa yang ada pada kerajaan.

“Saya tidak faham kenapa terma penyelesaian harus dirahsia daripada saya serta rakyat. Rakyat berhak tahu. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan pampasan,” katanya.

Pada 13 April lalu, media melaporkan saman difailkan Apandi terhadap Dr Mahathir dan kerajaan berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara, diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, yang mewakili Apandi selaku plaintif dalam saman itu, bagaimanapun berkata, terma-terma penyelesaian tidak boleh didedahkan.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir juga membangkitkan persoalan sama ada pampasan perlu dibayar jika tindakan penamatan perkhidmatan Apandi dibuat mengikut undang-undang.

“Saya berpendapat penyelesaian memberi pampasan besar untuk seorang yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik adalah amat dikesali di waktu mana sekalipun. Saya tidak mengaku salah dan bersedia untuk tuntutan Apandi diadili di mahkamah,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau mempertahankan tindakannya dan percaya penamatan perkhidmatan itu mengikut prosedur yang ditetapkan selepas menasihati Yang di-Pertuan Agong.

“Ketika saya beri keterangan kepada pihak Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, bagi persediaan kes saman Apandi itu, saya dimaklumkan bahawa proses penamatan perkhidmatan itu betul dan mengikut prosedur dan ‘Rule of Law’.

“Mereka maklumkan bahawa saya dan kerajaan sudah memberi nasihat betul pada Yang di-Pertuan Agong supaya Apandi ditamatkan perkhidmatan.

Saman itu difailkan Apandi pada 13 Oktober 2020 dengan menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu sebagai tidak sah.

BBerkaitan

Latest articles