Tun M Akui Pernah Hilang Harapan Untuk Pulih Dari Sakit

KUALA LUMPUR: Menerusi satu hantaran di media sosial hari ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meluahkan rasa syukurnya kerana tahap kesihatannya semakin pulih selepas mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Namun, beliau turut mengakui pernah rasa seperti putus harapan ketika menjalani rawatan.

“Saya ucap terima kasih kerana ramai yang berdoa untuk saya pulih dan rahsianya ialah saya telah pulih daripada satu penyakit yang bagi sayalah amat teruk.

“Adakalanya saya tak haraplah nak pulih tetapi alhamdullilah dengan rawatan yang diberi di IJN saya pulih,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkata, beliau kini boleh melakukan banyak aktiviti hampir seperti menjalani kehidupan biasa sebelum ini.

Namun, Dr. Mahathir memaklumkan badannya masih tidak begitu kuat untuk bekerja.

“Waktu ini saya boleh berjalan, saya boleh makan, saya boleh tidur, saya boleh duduk, saya hampir macam biasalah tapi taklah begitu kuat nak bekerja apa semua.

“Tapi saya harap saya akan pulih, sekian terima kasih,” katanya.

Dr. Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 8.40 pagi empat hari lalu.

Negarawan itu dimasukkan ke institut itu untuk rawatan perubatan dan dibenarkan keluar untuk menjalani pemulihan di rumah.

Untuk rekod pada 7 Januari lalu Dr. Mahathir mendapatkan lanjutan prosedur elektif di IJN.

Malah Dr Mahathir dimasukkan ke IJN sekali lagi pada 22 Januari lalu untuk mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU) IJN.

Pada 16 Disember lalu, beliau turut dimasukkan ke pusat sama untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut sebelum dibenarkan keluar pada 23 Disember.

BBerkaitan

Latest articles