KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui bahawa dirinya berpegang kepada prinsip ‘the enemy of my enemy is my friend’ dalam usahanya ‘membenamkan’ kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak suatu ketika dahulu.
Bercakap dalam temubual Podcast “Keluar Sekejap”, Dr Mahathir memberitahu dalam mencapai tujuan itu, beliau sanggup berkawan dan mempergunakan DAP kerana mengetahui parti berkenaan telah menjadikan Najib sebagai musuh sekian lamanya.
“Kita tentukan matlamat. Nak capai sesuatu matlamat, bila kita berjuang the enemy of your enemy is your friend.
“Kita nak guna DAP umpamanya, untuk mendapatkan majoriti. Kalau saya tak guna DAP kita tak akan dapat majoriti dan Najib terus jadi perdana menteri.
“Antara Najib dan DAP yang mana perlu kita singkir dan lawan? Sebab itu saya guna DAP. Saya juga sedar DAP nak guna saya pasal DAP juga mempunyai matlamat sama. Jadi kita guna itu,” katanya.
Bukan itu sahaja, Dr Mahathir turut ‘merendahkan’ egonya dengan bekerjasama dengan bekas musuhnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini juga dilakukannya hanya kerana mahu matlamat menjatuhkan Najib tercapai.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu juga mengakui hal yang sama dilakukannya pada hari ini dengan bersahabat dengan PAS kerana mahu menjatuhkan kerajaan yang dipimpin Anwar pada ketika ini.
“Pada satu peringkat anda kena berpegang pada pendapat itu. Memang pun kalau kita hendak mencapai sesuatu, kalau kita terikat dengan ikatan yang lama kita tak akan berjaya.
“Sebab itu nak jatuhkan UMNO parti saya dahulu kenapa? Sebab UMNO sudah jauh lari daripada perjuangan apabila dipimpin Najib. Untuk itu saya keluar daripada UMNO,” katanya lagi.