Tun Faisal digantung keahlian 6 tahun

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz, digantung keahlian selama enam tahun.

Ketika dihubungi, beliau berkata, keputusan yang dibuat Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini belum diberikan secara bertulis.

“Saya hanya dimaklumkan mengenai keputusan ini. Dengar-dengar digantung keahlian UMNO selama enam tahun. Tetapi tidak tahu apa justifikasi MKT di sebalik hukuman ini.

“Kalau ikutkan terma penggantungan ini, semua manfaat sebagai ahli UMNO dilucutkan secara sementara sepanjang tempoh itu,” katanya

Had umur keahlian, penurunan kuasa kepada negeri antara pindaan Perlembagaan UMNO
Tun Faisal yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, pada 19 Februari lalu diminta mengemuka surat tunjuk sebab dan diarah hadir ke Tribunal Lembaga Disiplin UMNO, susulan tindakannya membuat kenyataan terbuka menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Arahan untuk menghadiri tribunal pada 25 Februari lalu, bagi menjawab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya, dimaklum menerusi panggilan telefon dan WhatsApp oleh Sekretariat Lembaga Disiplin UMNO.

Sebelum ini, Tun Faisal dilaporkan berkata, Ahmad Zahid sudah hilang kredibiliti dan mengkhianati parti selepas gerakan untuk membawa UMNO menyokong ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal beberapa kali.

MKT UMNO sebelum ini memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Anwar dan DAP, selain terus mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Tun Faisal berkata, beliau akan mengadakan sidang akhbar, esok selepas meneliti perincian keputusan hukuman yang ditentukan MKT UMNO.

“Saya nak tahu juga apa yang salah sehingga saya dijatuhkan hukuman gantung keahlian?” katanya.

BBerkaitan

Latest articles