Tun Abdullah Selamat Dikebumikan Dengan Istiadat Penghormatan Di Makam Pahlawan

KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, selamat dikebumikan dengan penuh istiadat penghormatan negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara, kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Allahyarham, yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) semalam pada usia 86 tahun, disemadikan berhampiran pusara tokoh kenamaan dan pemimpin negara lain.

Lebih 3,000 hadirin hadir memberikan penghormatan terakhir, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli-ahli Jemaah Menteri, pemimpin politik, tokoh masyarakat, serta orang awam.

Solat jenazah disempurnakan di Dewan Solat Utama Masjid Negara selepas solat Zohor, dan dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.

Keranda Allahyarham yang dibaluti Jalur Gemilang kemudiannya dibawa keluar dari dewan solat oleh anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) untuk dikebumikan di Makam Pahlawan.

Tun Abdullah, atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, dikenang sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat, sederhana, dan berintegriti tinggi.

Sepanjang pentadbirannya dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, beliau memperkenalkan pelbagai inisiatif penting termasuk Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), program J-QAF dalam pendidikan Islam, dan pembangunan industri halal negara.

BBerkaitan

Latest articles