‘Tumpang Tandas’ Jadi Alasan, Lelaki Bersama Dua Wanita Dicekup Berkhalwat Dalam Bilik Hotel

JOHOR BAHRU: Helah “tumpang tandas” tidak menjadi apabila sepasang wanita bersama seorang lelaki ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel, awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 2.15 pagi, penguat kuasa JAINJ mengetuk pintu bilik berkenaan selama beberapa minit sebelum dibuka sedikit oleh seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an.

Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, lelaki berkenaan menutup semula pintu dan hanya selepas beberapa kali diketuk, barulah ia dibuka semula.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua wanita berusia sekitar 20-an berada dalam bilik yang sama, lengkap berpakaian,” menurut kenyataan JAINJ hari ini.

Apabila ditanya tujuan mereka berada di bilik berkenaan, lelaki tersebut mendakwa dua wanita itu baru sahaja masuk untuk menumpang tandas, kononnya kerana tandas di stesen minyak berhampiran telah ditutup.

Namun, alasan itu gagal meyakinkan pihak berkuasa memandangkan ketiga-tiga mereka mempunyai alamat di Johor Bahru dan tiada keperluan untuk bermalam di hotel.

“Dua wanita ini adalah rakan baik dan mengenali lelaki tersebut atas urusan kerja. Hotel itu juga didaftarkan atas nama lelaki berkenaan yang mengajak mereka datang ke biliknya,” kata jabatan itu lagi.

Pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga individu terbabit tiada hubungan mahram, dan mereka kemudian ditahan atas kesalahan berkhalwat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

BBerkaitan

Latest articles