SEPANG: Isu penggunaan pembalut makanan tertera kalimah suci ‘Allah’, ‘Muhammad’ dan ‘Masyaallah’ yang tular di media sosial akhirnya mendapat penjelasan pihak restoran terlibat.
Pengurusan Restoran Thoulath Maju tampil memohon maaf secara terbuka, mengakui penggunaan pembalut tersebut adalah daripada stok lama yang tidak disedari masih digunakan di salah satu cawangan di Kota Warisan.
Pengurus cawangannya, Abdul Razak Abu Bakar berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan menukar semua pembungkusan kepada versi baharu di seluruh cawangan sebaik isu berkenaan menjadi perhatian ramai di media sosial.
Menurutnya, pihak restoran tidak pernah berniat untuk menyinggung sensitiviti umat Islam, malah menerima segala kritikan sebagai ruang untuk menambah baik operasi perniagaan.
“Kesilapan ini berlaku tanpa disedari dan kami akui kelemahan tersebut. Kami sudah ambil tindakan segera dan pastikan perkara ini tidak berulang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan lebihan pembalut lama itu tidak dibuang sewenang-wenangnya kerana mengandungi kalimah suci, sebaliknya disimpan dengan baik di dalam stor.
Pihak restoran turut berjanji akan lebih peka terhadap isu sensitiviti agama pada masa akan datang demi menjaga kepercayaan pelanggan.










