Tukar Jantina Perlu Dijadikan Kesalahan dalam Undang-undang Syariah

Aspek Undang-undang Syariah di negara ini perlu dipertingkat dan dimajukan lagi, lebih-lebih lagi dalam hal berkaitan golongan yang berpakaian bertentangan dengan jantina.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Ahmad Marzuk Shaary berkata, memberi contoh jika perlakuan berkenaan dimuat naik ke media sosial, ia tidak dikira sebagai tempat awam.

Malah, dalam situasi undang-undang di Wilayah Persekutuan menerusi Akta Kesalahan Jenayah Syariah, penguatkuasa agama tidak boleh mengambil tindakan semata-mata kerana seseorang itu seorang ‘Mak Nyah’.

“Bahkan, pihak pendakwa perlu membuktikan individu itu menjadi ‘Mak Nyah’ di tempat awam dan dengan tujuan tidak bermoral.

“Sebab itu, kita mahu pinda semua Undang-undang Syariah yang ada kaitan dan kita akan usahakan secara berperingkat.

“Kita mahu Undang-undang Syariah juga selari dengan perkembangan arus teknologi dan keadaan semasa,” katanya yang dipetik Harakahdaily.net.

Menurut Ahmad Marzuk, beliau mengambil perhatian mengenai maklum balas orang ramai berhubung isu Undang-undang Syariah yang melibatkan golongan berkenaan.

Malah sejak dua hari lalu beliau telah mendengar pendapat, baik daripada pihak yang menyokong, menyelar mahupun mempertikaikan aspek hukuman kepada golongan itu.

“Ada dua perkara yang saya akan pastikan ia dimasukkan dalam pertimbangan untuk pindaan.

“Pertama, tukar jantina perlu dijadikan kesalahan khusus dalam Undang-undang Jenayah Syariah.

“Kedua, kandungan media sosial berkaitan dengan semua perlakuan bertentangan dengan jantina iaitu yang tidak senonoh, lucah dan jelik juga perlu dijadikan salah satu jenis kesalahan syariah yang dilakukan secara dalam talian,” katanya.

Katanya, kerajaan telah menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak bagi menangani isu LGBT yang beragama Islam.

Jawatankuasa itu, menurut beliau, dianggotai lebih 20 organisasi yang berkepentingan dan sudah memulakan mesyuarat pertamanya pada Disember lalu.

“Doa dan sokongan kalian semua amatlah kami harapkan dalam usaha mengekang individu dan organisasi yang cuba mempromosi gaya hidup songsang kepada anak-anak kita,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles