KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang juga tukang urut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang wanita berusia 21 tahun pada 30 Mei lalu.
Tertuduh, Nor Muhamad Ahmad, 57, dari Kuala Klawang bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca kepadanya di depan Majistret Saiful Sayoti.
Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 10.30 malam bertempat di ruang tamu sebuah rumah di Taman Angsana, didapati melakukan amang seksual terhadap wanita itu.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut akta sama.
Lelaki itu berdepan hukuman penjara maksimum tidak lebih 30 tahun selain sebat, jika sabit kesalahan, lapor Harian Metro.
Mahkamah menetapkan 17 Julai ini bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Pendakwaan kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh berikutan kesalahan itu tidak boleh jamin.
Mahkamah kemudian memutuskan tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh.