KUALA LUMPUR: Seorang tukang masak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar, hari ini atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur sehingga hamil di sebuah hotel, bulan lalu.
Tertuduh, Thian Ming Chuan, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa merogol kenalannya berusia 16 tahun di sebuah hotel di Yong Peng, Batu Pahat, jam 4.30 petang, pada 13 Disember lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan dibuat, mangsa baru sebulan mengenali tertuduh yang mana lelaki itu berniaga di hadapan gerai neneknya sebelum mengambil keputusan keluar bersama.
Namun, tertuduh membawa mangsa ke sebuah hotel sebelum melakukan perbuatan itu terhadapnya.
Selepas kejadian itu, mangsa tidak menceritakan kepada sesiapapun sehingga remaja itu mengadu sakit perut kepada ibu saudaranya.
Mangsa kemudian dibawa ke sebuah klinik dan pemeriksaan mendapati, dia hamil empat minggu sebelum menceritakan dirogol oleh tertuduh.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh diwakili peguam, Gan Hsien Yang dan Ishvinderjeet Singh Ranjit Sigh.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh dan memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan dua syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa sehingga kes selesai.
Kes disebut semula pada 27 Februari ini untuk serahan dokumen.