KUALA LUMPUR, 21 Jan — Kerajaan hari ini melancarkan Projek Pertahanan Nasional (PPN) sebagai inisiatif strategik untuk memperkukuh keupayaan industri pertahanan tempatan menerusi pembangunan projek berimpak tinggi, pemindahan teknologi serta peningkatan nilai rantaian bekalan industri pertahanan negara.
Peluncuran PPN yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), selaras dengan aspirasi memperkukuh swadaya dan kemandirian pertahanan Malaysia .
Menurut Kementerian Pertahanan, PPN merangkumi tujuh projek strategik yang memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi kritikal dan keupayaan tempatan dalam domain darat, laut, udara serta siber, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sokongan teknikal luar .
Antara projek utama ialah Projek Perkhidmatan Satelit Pertahanan Negara, yang dilaksanakan melalui Boustead Holdings Berhad bagi membangunkan keupayaan tempatan dalam pengurusan perisian satelit, spektrum dan operasi penyelenggaraan, membolehkan Malaysia mengoperasi aset satelit pertahanan secara berdikari
.
Malaysia turut membangunkan Sistem Laser Pertahanan Udara (Directed Energy Weapon – DEW) dengan kerjasama rakan strategik dari Republik Rakyat China bagi memperkukuh pertahanan udara taktikal Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya dalam menghadapi ancaman asimetrik dan sistem tanpa pemandu .
Selain itu, PPN merangkumi pembangunan platform casis beroda aset mobiliti darat masa hadapan melalui kerjasama dengan syarikat dari Republik Türkiye, serta pembangunan keupayaan pemasangan, pembaikan dan pembuatan sistem persenjataan hasil kerjasama dengan rakan industri dari Republik Indonesia .
Dalam aspek teknologi perisikan dan peperangan elektronik, sistem Passive Electronic Intelligence (ELINT) buatan tempatan, dikenali sebagai sistem TEDUNG, dibangunkan bagi menyokong operasi pertahanan darat, laut dan udara serta sistem amaran awal negara .
PPN turut merangkumi pembangunan dron kamikaze tempatan (Loitering Munition Systems) serta Simulator Penerbangan FA-50M Tentera Udara Diraja Malaysia, yang memberi penekanan kepada latihan realistik, keselamatan dan pembangunan modal insan tempatan berkemahiran tinggi .
Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa tujuh projek strategik ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina pertahanan negara berasaskan teknologi, ilmu dan keupayaan tempatan, di samping memastikan industri pertahanan nasional berkembang secara mampan, berdaya saing dan berdaulat demi keselamatan jangka panjang negara .










