Tujuh Email Diabai Sejak Mei, Persatuan Ping Pong Selangor Tuntut Penjelasan Pesuruhajaya Sukan

SHAH ALAM, – Persatuan Ping Pong Selangor tampil mendesak penjelasan segera daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia berhubung kegagalan badan itu memberikan maklum balas terhadap tujuh aduan yang telah dihantar sejak 7 Mei lalu.

Menurut Naib Presiden persatuan, Dato’ Ir. Dr Paul Lee Kok Sun, kesemua aduan yang dikemukakan melalui emel berkisar kepada dakwaan pengambilalihan tidak sah kepimpinan persatuan tanpa melalui Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang sah — satu tindakan yang didakwa melanggar perlembagaan persatuan serta mencemar prinsip demokrasi dalam tadbir urus sukan.

“Satu laporan polis juga telah dibuat, namun sehingga hari ini tiada sebarang respons, penjelasan atau tindakan daripada pihak Pesuruhjaya Sukan Malaysia. Ini satu bentuk pencabulan terhadap keadilan dan ketelusan,” tegas beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

Tambahnya, kegagalan bertindak oleh badan pengawalselia itu menimbulkan persoalan besar tentang kebertanggungjawaban pihak berkuasa dalam memastikan integriti pengurusan persatuan sukan terpelihara.

“Bagaimana pengambilalihan yang melanggar peraturan boleh terus dibiarkan? Ini memberi kesan negatif terhadap moral ahli-ahli kami,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Persatuan Ping Pong Selangor tidak menolak kemungkinan akan membawa perkara ini ke peringkat lebih tinggi, termasuk kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), malah mempertimbangkan tindakan undang-undang jika isu berkenaan terus diabaikan.

BBerkaitan

Latest articles