More

    Tuduhan Jual 42 Plot Tanah DBKL, Annuar Saman Kok Wai

    Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa membidas tuduhan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai bahawa beliau telah menjual 42 plot tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak memegang jawatan berkenaan selama lapan bulan pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

    Sehubungan itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh bertindak mengemukakan saman terhadap pemimpin DAP itu yang mana dakwaan yang dilontarkan Kok Wai mencemarkan reputasinya.

    Annuar menegaskan beliau tidak pernah menerima sebarang permohonan dari DBKL untuk menjual aset bandaraya itu ini.

    “Saya ulang, sehingga saat ini, saya tak pernah terima apa-apa permohonan dari bandaraya (DBKL) untuk menjual mana-mana aset mereka.

    “Saya kecewa fitnah pemimpin DAP ini menyerang Ahli Parlimen yang lain, sedangkan beliau mempunyai peluang berucap di Parlimen untuk saya berikan jawapan, tetapi dia pilih untuk membuat kenyataan di luar Parlimen.

    “Justeru, saya arahkan peguam saya ambil tindakan undang-undang terhadap beliau mengikut proses sedia ada,” katanya dalam sidang media menjawab tuduhan Kok Wai di lobi Parlimen di sini, hari ini.

    Semalam, Malaysiakini melaporkan Kok Wai mendakwa 42 plot tanah telah terjual, selain mempersoalkan apakah status penjualan tanah-tanah itu.

    Dakwanya banyak tanah di ibu negara telah dijual kepada pihak swasta untuk dimajukan, dibangunkan sebagai projek perumahan dan campuran komersial sejak Annuar memegang jawatan itu.

    Kok Wai turut mendakwa, empat daripada 42 plot tanah itu turut merangkumi Parlimennya.

    Annuar berkata dakwaan Kok Wai itu menyebabkan ramai rakyat percaya dan dirinya menerima reaksi negatif menerusi komentar Instagram dan Facebook pemimpin DAP berkenaan.

    “Ini tuduhan yang sangat serius. Apabila saya membaca komentar (komen netizen) dalam Instagram dan Facebook, masyarakat telah melemparkan celaan dan tuduhan terhadap saya kerana termakan fitnah Ahli Parlimen Cheras ini.

    “Saya tegaskan juga, DBKL tidak perlu jual mana-mana asetnya. Jika ada sebab kukuh melibatkan aset bandaraya, kita akan teliti dan masuk dalam mesyuarat untuk mendapatkan keputusan,” katanya.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini