Tuduhan Bunuh Pengasas Dnars Gagal Dibuktikan, Mahkamah Isytihar Fitnah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa tuduhan yang dilemparkan terhadap Ahmad Shah Rizal Ibrahim, suami kepada pengasas kosmetik Dnars, Allahyarham Faziani Rohban, adalah tidak berasas dan bersifat fitnah, sekali gus membersihkan namanya daripada dakwaan serius yang dibuat sebelum ini.

Hakim Khadijah Idris, dalam penghakiman yang disampaikan Rabu lalu, memerintahkan adik kepada Faziani, Faizul serta anaknya, Irdiena Hakim Jasman, membayar ganti rugi berjumlah RM100,000 kepada Shah Rizal.

Selain itu, kedua-dua defendan turut diarahkan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi media arus perdana dan akaun Facebook peribadi masing-masing.

Kes saman sivil itu difailkan Shah Rizal susulan penerbitan pelbagai kenyataan palsu oleh defendan, termasuk tuduhan beliau berlaku curang ketika Faziani masih hidup, bersikap kejam terhadap anak tiri, cuba menyeleweng harta peninggalan arwah isterinya serta gagal menyediakan keperluan dan penjagaan anak tiri.

Lebih serius, Faizul dan Irdiena turut menuduh Shah Rizal terlibat merancang pembunuhan Faziani yang meninggal dunia akibat kemalangan di Pattani, Thailand pada 18 Mei 2019.

Namun, mahkamah mendapati semua dakwaan tersebut gagal dibuktikan dan bersifat fitnah.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi kekal yang melarang Faizul dan Irdiena, termasuk mana-mana ejen atau pekerja mereka, daripada menerbitkan atau mengulangi sebarang kenyataan yang mengandungi tuduhan sama terhadap Shah Rizal pada masa akan datang.

Mengulas keputusan itu, Shah Rizal menyifatkannya sebagai kemenangan kebenaran dan berharap penghakiman tersebut dapat memulihkan nama baik serta mempertahankan maruah keluarganya.

“Saya bersyukur kerana kebenaran akhirnya ditegakkan. Fitnah yang dilemparkan bukan sahaja memberi kesan kepada diri saya, malah mencemarkan maruah dan legasi Allahyarham,” katanya.

Pada prosiding tersebut, Shah Rizal diwakili peguam Azhar Arman Ali, Nik Zarith Nik Moustapha dan Aina Syazwani Mansor, manakala Faizul serta Irdiena diwakili Shaharuddin Mohamed dan Nur Shafika Mustaffa.

BBerkaitan

Latest articles