Tuduhan Berat Sebelah, SPRM Tegaskan Siasatan Tak Dipengaruhi Kepentingan Peribadi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil menangkis dakwaan kononnya siasatan yang dijalankan agensi itu dipengaruhi kepentingan tertentu atau bermotif peribadi.

Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM menegaskan setiap siasatan dilaksanakan secara profesional, berpandukan bukti serta mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang tanpa rasa gentar atau pilih kasih.

Penjelasan itu dibuat susulan laporan sebuah media antarabangsa yang didakwa mengandungi tuduhan tidak berasas dan berniat jahat sehingga boleh menjejaskan reputasi suruhanjaya berkenaan.

Bagaimanapun, SPRM memaklumkan pihaknya tidak akan mengulas lanjut dakwaan berbentuk spekulasi atau tohmahan, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan perkara yang masih dalam pertimbangan mahkamah (sub judice) atau tertakluk kepada proses perundangan yang sedang berjalan.

Menurut kenyataan itu lagi, sebarang keputusan untuk mendakwa adalah di bawah bidang kuasa dan budi bicara Jabatan Peguam Negara serta institusi kehakiman, selaras dengan prinsip pengasingan kuasa yang menjadi tunjang sistem perundangan negara.

Sebagai agensi penguat kuasa yang ditubuhkan di bawah Akta SPRM 2009, suruhanjaya berkenaan turut menegaskan operasinya dipantau oleh lima badan bebas bagi memastikan integriti dan ketelusan sentiasa terpelihara.

“Sebarang dakwaan salah laku tidak boleh dihakimi melalui persepsi atau naratif media semata-mata. Ia perlu dinilai menerusi saluran undang-undang dan proses keadilan yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, SPRM menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau bukti kukuh berkaitan rasuah atau salah laku supaya menyalurkannya melalui saluran rasmi agar tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut lunas undang-undang.

BBerkaitan

Latest articles