Bekas menteri luar, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan beliau bersedia mengambil tindakan undang-undnag terhadap Timbalan Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Negeri Sabah, Jannie Lasimbang dan beberapa yang lain atas tuduhan bahawa anak-anaknya terlibat dalam urusan menarik sokongan sekumpulan wakil rakyat negeri itu.
Kedudukan Shafie Semakin Goyah, Musa Giat Dapatkan Sokongan ADUN Kerajaan
“Saya akan saman mereka yang terlibat (memfitnah dirinya dan anak-anak),” kata Anifah memetik laporan Malay Mail, hari ini.
Reaksi Anifah menyusul selepas Lasimbang mendakwa dirinya cuba dipengaruhi untuk menukar sokongan politik dengan tawaran wang dan jawatan.
Beliau mendakwa ketiga-tiga lelaki yang menemui dirinya pada semalam mengakui anak-anak kepada Anifah.
Lasimbang kemudiannya membuat laporan polis atas kejadian itu.
Terdahulu, awal hari ini peguam bagi pihak anak-anak Anifah mengemukakan notis tuntutan permohonan maaf terhadap Lasimbang dan portal berita Borneo Today atas dakwaan dan laporan berkaitan.
“Kami telah diarahkan oleh anak-anak Datuk Seri ANifah Aman untuk meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya atas kenyataan berunsur fitnah yang dinyatakan oleh Lasimbang semasa mengadakan sidang media semalam dan laporan berita oleh Borneo Today yang bertajuk ‘Kami Bukan Katak, ADUN Kapayan dan ADUN Elopura Lapor Polis’ yang telah melibatkan klien kami.
“Klien kami menafikan penglibatan mereka dalam apa jua cara sekalipun, termasuk dalam mempengaruhi ADUN Moyog dan beberapa ADUN yang lain untuk mengubah sokongan politik, malah tidak pernah melantik ejen untuk membuat tawaran kepada ADUN untuk tindakan yang serupa,” demikian kenyataan peguam yang mewakili anak-anak Anifah, Tetuan Ansari & Co.
Lasimbang diminta membuat permohonan maaf dalam tempoh dua hari, dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan beliau berdepan dengan tindakan undang-undang.
Pergolakan politik di Sabah kini semakin memuncak apabila bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman dikatakan telah mendapat sokongan majoriti wakil rakyat di negeri itu, dan sedang berusaha mendapatkan sokongan wakil rakyat Warisan, PKR, DAP dan Upko.
Keadaan ini menjadikan Ketua Menteri Sabah sekarang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam keadaan tidak selamat, apatah lagi dengan kerjasama antara Perikatan Sabah dan tigas ADUN Bebas yang kini menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Laporan Straits Times pada hari ini juga menyebut bahawa sumber Perikatan Nasional (PN) memberitahu bahawa mereka telah mendapat sokongan 14 daripada 15 ahli parlimen Sabah untuk membolehkan peralihan kuasa berlaku.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Anifah didakwa dengan usaha membeli wakil rakyat Sabah.
Bekas Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya, Datuk Mohammaddin Ketapi sebelum ini pernah mendakwa Shafie memujuknya untuk menyokong PN, namun dinafikan Anifah dengan berkata ‘cuma menasihati rakan lama’.