Tuduh PN Terima Dana Syarikat Judi, Ahmad Fayhsal Sifatkan Ia Satu Fitnah

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa PN menerima dana daripada sayarikat perjudian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahmad Fayhsal menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan satu fitnah terhadap PN.

Justeru itu, satu laporan polis telah dibuat terhadap Anwar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

“Saya sebagai Ahli Parlimen Machang yang menang bertanding, dipilih oleh rakyat menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini.

“Saya mewakili ahli-ahli Parlimen PN lain bahawa kami tidak menerima dana daripada syarikat judi tersebut.

“Oleh sebab itu, saya membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri atas pertuduhan jenayah fitnah yang beliau tuturkan kononnya PN mendapat dana daripada syarikat judi yang digunakan dalam kempen PRU15 baru-baru ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Anwar dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian.

Dalam pada itu, Ahmad Fayhsal turut menyifatkan tuduhan itu sekadar permainan politik Anwar yang dilakukan untuk membina persepsi seolah-olah PN menerima dana daripada syarikat judi.

“Mungkin tujuannya untuk menggempur pengundi-pengundi Melayu khususnya yang bakal mengundi hari ini di DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai.

“Saya yakin pengundi-pengundi tidak akan termakan dengan fitnah ini kerana ianya dinafikan oleh kepimpinan kami.

“Dengan laporan polis yang kami buat hari ini menunjukkan tiada apa mahu diselindungkan untuk pihak berkuasa melakukan siasatan,” katanya.

Tambahnya, dengan laporan polis itu juga, pihak berkuasa terbuka untuk menyiasat mengenai kehilangan dana kerajaan RM600 bilion semasa pentadbiran Kerajaan PN.

“PN mengambil serius tohmahan dan fitnah ini. Kami harap pihak berkuasa berwajib seperti PDRM menyiasat dan mengambil kira laporan yang telah saya buat tadi,” katanya lagi

BBerkaitan

Latest articles