KUALA LUMPUR: PAS menyelar tindakan kerajaan yang cuba menyalahkan pembangkang susulan kegagalan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan tuduhan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bahawa pembangkang “salah faham” terhadap cadangan itu sebagai tidak berasas dan menyimpang daripada isu sebenar.
Menurutnya, kegagalan tersebut sebenarnya berpunca daripada kelemahan kerajaan sendiri yang gagal memastikan kehadiran serta sokongan Ahli Parlimen mereka ketika sesi pengundian yang memerlukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
“Cubaan mengheret pembangkang sebagai punca kegagalan bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah memperlihatkan sikap kebudak-budakan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Takiyuddin menjelaskan, sepanjang perbahasan di Parlimen, Ahli Parlimen pembangkang telah menegaskan bahawa cadangan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri perlu diteliti secara menyeluruh dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, perkara itu turut melibatkan peranan serta kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(2)(a) dalam melantik Perdana Menteri yang mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Selain itu, pembangkang juga mencadangkan agar sebarang pindaan berkaitan dirujuk terlebih dahulu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja kerana ia menyentuh kedudukan institusi Raja-Raja.
“Sebarang pindaan Perlembagaan mesti dibuat secara teliti, berhemah dan mendapat sokongan konsensus yang luas. Kegagalan ini adalah kegagalan kerajaan sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan PAS tetap menyokong usaha reformasi institusi termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, namun ia perlu dilaksanakan secara telus serta selari dengan semangat Perlembagaan negara.
Sebelum ini, Fahmi dilaporkan berkata kegagalan meluluskan pindaan tersebut berpunca daripada salah faham Ahli Parlimen pembangkang terhadap cadangan berkenaan, yang memerlukan sokongan dua pertiga Dewan Rakyat untuk diluluskan.










