Tuan Rumah Kena Kompaun Kerana Benarkan Tetamu Ziarah Raya

Seorang suri rumah dikenakan kompaun RM1,000 selepas membenarkan belasan tetamu menghadiri kediamannya untuk ziarah hari raya.

Tindakan itu dikenakan selepas sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak membuat pemeriksaan mengejut di kediamannya di Taman Selayang Mutiara, Batu Caves, petang semalam.

Ketika disoal polis semalam, salah seorang tetamu memaklumkan mendapat jemputan daripada anak kepada tuan rumah berkenaan untuk datang berhati raya.

Menurut laporan BH, tetamu berusia 19 tahun itu juga mengakui sedar akan arahan untuk ziarah hari raya pada hari raya pertama sahaja.

“Mereka jemput untuk datang hari ini, saya datanglah untuk beraya tetapi tak sangka pihak polis akan datang buat pemeriksaan di sini, hari ini,” katanya yang turut mendakwa dia baru beberapa minit sampai di rumah itu sebelum kehadiran pihak polis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata hasil pemeriksaan dijalankan mendapati ada 18 individu berada di dalam rumah terbabit, terdiri daripada ahli keluarga dan saudara rapat kepada tuan rumah.

Susulan itu, beliau berkata, tuan rumah terbabit yang juga seorang suri rumah berusia 50 tahun, dikenakan kompaun.

“Wanita itu dikenakan kompaun RM1,000 dan perlu menjelaskannya dalam tempoh 14 hari kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Ketika diambil keterangan, beliau mengaku kerajaan memberikan kebenaran untuk aktiviti ziarah hanya pada hari pertama Aidilfitri,” katanya kepada BH, hari ini.

Untuk rekod, kerajaan hanya membenarkan ziarah Aidilfitri pada hari raya pertama.

BBerkaitan

Latest articles