Trump Tangguh Umum Tarif Baharu Ke Atas Malaysia

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersetuju untuk menangguhkan pengumuman tarif balas terhadap Malaysia, yang dijadualkan diumumkan esok, 1 Ogos.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini, susulan perbualan telefon beliau bersama Trump pada jam 6.50 pagi tadi.

“Saya ingin memaklumkan, pada jam 6.50 pagi tadi saya sempat berbincang dengan Presiden Donald Trump. Kadar tarif akan diumum esok. Kita berdoa, insya-Allah ia tidak akan membebankan ekonomi negara,” katanya.

Sebelum ini, Washington dilaporkan bakal mengenakan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas semua produk dari Malaysia, sebagai langkah balas dalam polisi perdagangan terkininya.

Pengumuman rasmi dijangka dibuat oleh White House esok.

Namun hasil perbualan pagi ini, Trump bersetuju menangguhkan sementara pengumuman tersebut, memberikan ruang kepada usaha diplomatik dan rundingan yang sedang dijalankan antara kedua-dua negara.

Anwar berkata, isu tarif itu dibincangkan atas semangat prinsip perdagangan bebas, sambil memuji rundingan berterusan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Wakil Perdagangan dan Setiausaha Perdagangan AS.

“Yang penting ialah kewaspadaan kita. Jika tarif tetap dilaksanakan, ia mungkin menyumbang kepada peningkatan harga barang dan kos sara hidup. Ketahanan ekonomi perlu kita bina,” tegas Anwar.

Dalam perbualan yang sama, Trump turut menyatakan penghargaan kepada Malaysia atas peranannya dalam membantu meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja, yang baru-baru ini mengalami konflik sempadan.

Anwar menjelaskan, pencapaian itu adalah hasil kerjasama erat ASEAN, serta pendekatan positif negara-negara serantau termasuk Amerika Syarikat dan China.

“Saya nyatakan kepada beliau bahawa ini dicapai hasil kesepakatan ASEAN dan sikap positif kedua-dua negara, serta sokongan AS dan Presiden China,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut mengesahkan bahawa Trump akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada Oktober ini, satu isyarat jelas kepada hubungan strategik yang semakin erat antara Malaysia dan AS.

BBerkaitan

Latest articles