KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak menetapkan sebarang syarat untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur bulan ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diterima Putrajaya, tiada permintaan khusus atau syarat rasmi daripada Washington.
“Setakat ini, kami tidak dimaklumkan tentang sebarang syarat,” katanya seperti dipetik The Straits Times, sambil menjelaskan perkara itu juga tidak dibincangkan ketika panggilan video bersama timbalan wakil perdagangan AS pada 7 Oktober lalu.
Sebelum ini, portal Politico melaporkan bahawa Trump mahu mempengerusikan majlis menandatangani perjanjian damai Thailand-Kemboja pada sidang berkenaan.
Lebih kontroversi, laporan itu mendakwa Trump turut meminta pegawai China dikecualikan daripada majlis tersebut bagi mengecilkan peranan Beijing dalam usaha perdamaian antara kedua-dua negara jiran itu.
Namun, Rumah Putih menafikan dakwaan tersebut ketika dihubungi Politico.
Thailand dan Kemboja sebelum ini terbabit dalam pertempuran paling sengit dalam lebih 10 tahun, berpunca daripada pertikaian kawasan sempadan sepanjang 817 kilometer.
Ketegangan memuncak sejak 28 Mei lalu apabila seorang tentera Kemboja terbunuh dalam insiden berhampiran kawasan dipertikai di Preah Vihear, kira-kira 360 kilometer dari Bangkok.
Selepas rundingan, kedua-dua negara akhirnya mencapai gencatan senjata pada akhir Julai.
Politico turut melaporkan bahawa Trump memberi amaran kepada Bangkok dan Phnom Penh agar menamatkan konflik tersebut atau beliau enggan memeterai sebarang perjanjian perdagangan dengan mereka.