KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memuji peranan besar Malaysia dalam memudahkan rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja, menyifatkannya sebagai kejayaan diplomasi yang wajar dicontohi.
Trump berkata, keputusan beliau untuk memasukkan Malaysia dalam siri lawatan serantaunya dibuat sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya menggerakkan rundingan damai dua negara jiran itu selepas berpuluh tahun bergelut dengan pertikaian sempadan.
“Saya memberitahu pemimpin Malaysia, yang merupakan seorang yang sangat baik, bahawa saya patut datang ke sini dan sebab itulah kami singgah di Malaysia.
“Negara ini memainkan peranan sangat besar dalam memastikan gencatan senjata Thailand-Kemboja tercapai,” katanya kepada pemberita di dalam pesawat Air Force One dalam penerbangan dari Washington, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Pesawat rasmi Presiden AS itu dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 10 pagi, dengan Anwar akan menyambut ketibaan beliau di Kompleks Bunga Raya.
Dalam kenyataan di platform Truth Social, Trump berkata beliau teruja untuk menghadiri majlis pemeteraian perjanjian damai bersejarah Thailand–Kemboja, yang menurutnya turut melibatkan peranan penting Malaysia dan ASEAN.
“Saya kini dalam perjalanan ke Malaysia untuk menyaksikan penandatanganan Perjanjian Damai hebat yang saya bangga menjadi sebahagian daripadanya,” tulisnya, sambil merakamkan takziah atas kemangkatan Bonda Ratu Thailand, Sirikit Kitiyakara.
Perjanjian berkenaan dijadual ditandatangani hari ini oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, di luar sesi rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Majlis itu akan disaksikan oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN, bersama Trump sebagai tetamu kehormat menandakan satu lagi kejayaan diplomasi serantau yang berteraskan perdamaian.
Pertikaian sempadan sepanjang 817 kilometer antara Thailand dan Kemboja telah lama menjadi sumber ketegangan, dengan insiden konfrontasi ketenteraan terbaru tercetus pada 24 Julai lalu.
Namun, usaha Anwar yang menganjurkan pertemuan antara pemimpin kedua-dua negara di Putrajaya pada 28 Julai berjaya meredakan konflik dan membuka laluan kepada gencatan senjata yang kini dimeterai.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober di KLCC, menyatukan pemimpin serantau dan antarabangsa, sekali gus mengangkat peranan Malaysia sebagai peneraju keamanan dan diplomasi Asia Tenggara.










