Trump Lawat Malaysia, Jepun, Korea Selatan, Beri Isyarat Nada Damai Dengan China

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan beliau akan mengadakan lawatan ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan dalam masa terdekat, sambil menegaskan hasratnya untuk terus “bersikap baik terhadap China”, lapor Agensi Berita Kyodo.

Walaupun ketegangan perdagangan antara Washington dan Beijing kembali meningkat, Trump tampil dengan nada optimis menjelang kemungkinan pertemuannya dengan Presiden China, Xi Jinping, yang dijangka berlangsung minggu depan di Korea Selatan.

“Kami akan mengadakan perjanjian yang adil. Saya mahu bersikap baik terhadap China. Saya amat menghargai hubungan saya dengan Presiden Xi,” katanya pada sidang media di Rumah Putih ketika bertemu Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.

Menurut Trump, Korea Selatan dilihat sebagai lokasi sesuai bagi pertemuan dengan Xi selain mengesahkan beliau turut akan berkunjung ke Malaysia dan Jepun dalam rangka lawatan tersebut.

Ini merupakan kali pertama Trump secara terbuka menyebut rancangannya melawat Malaysia dan Jepun, walaupun sebelum ini beliau telah beberapa kali mengisyaratkan hasrat untuk bertemu Xi ketika kedua-duanya menghadiri sidang kemuncak ekonomi Asia-Pasifik hujung Oktober ini.

Sumber kerajaan Jepun memaklumkan, Trump dijangka berada di Jepun selama tiga hari bermula 27 Oktober selepas menghadiri persidangan serantau di Malaysia yang turut disertai negara-negara Asia Tenggara serta sekutu AS.

Beliau kemudian akan meneruskan lawatan ke Korea Selatan sebelum kembali ke Washington.

Lawatan ke Asia ini merupakan yang pertama sejak Trump memulakan penggal kedua sebagai presiden pada Januari lalu. – BERNAMA-KYODO

BBerkaitan

Latest articles