Seorang bakal pengantin wanita maut selepas mendapatkan rawatan sedut lemak di sebuah pusat rawatan kecantikan di Pusat Beli Belah Velocity Mall, Cheras, Sabtu lalu.
Mangsa berumur 23 tahun dan bakal berkahwin dengan seorang lelaki dari Afrika Selatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, semasa kejadian, mangsa cuba mendapatkan prosedur merawat sedutan lemak yang diuruskan premis milik seorang ibu dan anaknya.
“Dia pergi buat rawatan kecantikan dengan syarikat itu yang didapati telah berdaftar secara sah tetapi siasatan polis mendapati dia tidak mempunyai kemahiran atau berkepakaran dalam penyedutan lemak.
“Jadi apabila mangsa pergi ke premis dapatkan khidmat mereka, majikan iaitu emak dan anaknya melakukan proses penyedutan lemak kepada wanita itu.
“Setelah mereka memberi suntikan di tangan mangsa, mangsa terus mengalami masalah kesukaran bernafas, muka dan badan jadi pucat sebelum pengsan dan tidak sedar diri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.
Saiful Azly memaklumkan, pemilik pusat rawatan berkenaan segera menghubungi ambulans selepas mendapati keadaan mangsa yang tidak stabil.
Kedua-dua ibu dan anak berkenaan yang berusia 49 dan 23 tahun kini direman selama tiga hari.
Kes disiasat di bawah Seksyen 304a Kanun Keseksaan.