KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina semula, dan membaiki 17 kediaman yang terlibat dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Selangor, bermula minggu depan.
Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Mohd Jamil Idris berkata, projek permulaan melibatkan 11 kediaman rosak sepenuhnya dan enam rumah untuk dibaik pulih, dengan peruntukan kerajaan yang dipersetujui sebelum ini, iaitu rumah bina semula maksimum RM300,000 dan baik pulih maksimum RM150,000.
“Kita dah mula masuk ke kawasan itu dan kontraktor kita dah bagi surat lantikan kepada penduduk terlibat minggu ini, jadi dalam minggu depan mereka (kontraktor) akan mula kerja di tapak (kediaman yang terlibat). Kalau tengok data yang kita ada setakat ini 17 unit kediaman … dan data itu mungkin akan berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SPNB di Taman Desa Kuala Muda, semalam, yang dirasmikan oleh Pengerusi SPNB Datuk Mohd Azmi Mohd Lila.
Pada 1 April lepas, insiden kebakaran saluran paip gas menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar dan 21 rumah tidak terjejas.
Sementara itu, Mohd Azmi berkata SPNB akan membina sebanyak 5,450 Rumah Mesra Rakyat (RMR), dengan peruntukan RM504 juta di seluruh negara pada tahun ini bagi membantu golongan B40 dan kurang berkemampuan untuk memiliki rumah.
Beliau berkata pihaknya juga telah melaksanakan kira-kira separuh daripada sasaran itu setakat Mei ini dan menyasarkan untuk menyempurnakan keseluruhannya menjelang hujung tahun.
“Kita bina rumah ini agak cepat, iaitu tiga bulan dengan kebanyakan menggunakan cara konvensional selain IBS cuma mungkin akan ada isu dari segi sedikit kelewatan (bagi sesetengah permohonan) kerana (ada) proses yang perlu dilalui,” katanya.
Mohd Azmi berkata antara syarat kelayakan memiliki RMR adalah pendapatan pemohon tidak melebihi RM5,000, tidak memiliki rumah dan mempunyai tanah sendiri.
“Pembinaan setiap rumah membabitkan peruntukan RM75,000, iaitu RM20,000 dalam bentuk subsidi kerajaan dan RM55,000 lagi sebagai pinjaman tanpa faedah. Bayaran bulanan ialah RM300 sebulan untuk kira-kira 16 tahun,” katanya sambil menambah sebanyak 73,279 RMR telah dibina di seluruh negara sejak 2002.
Mengenai program hari ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyumbang RM38,950, manakala SPNB sebanyak RM10,000.
Selain itu, SPNB dan syarikat Progressive Impact Technology Sdn Bhd turut menyumbang sistem panel solar 4kWp bernilai RM18,540 bagi mendidik komuniti tentang elemen penjimatan elektrik, mesra alam, tenaga boleh diperbaharui, menggalakkan penggunaan teknologi hijau serta menyumbang kepada alam sekitar yang lebih sihat. – BERNAMA