KAJANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang hilang selepas dihanyutkan arus deras di Taman Prima Saujana disambung semula pagi ini.
Remaja terbabit hilang ketika cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam longkang di Lorong 1/3A kawasan perumahan itu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, operasi pencarian malam tadi ditamatkan sekitar jam 12 tengah malam atas faktor keselamatan dan akan diteruskan semula pada jam 8 pagi.
“Usaha mencari mangsa masih diteruskan. Kita akan menggerakkan semula pasukan SAR pagi ini,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Tragedi itu turut mengorbankan adik kepada mangsa, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang juga dihanyutkan ketika cuba menyelamatkan bola yang sama.
Mayat adik mangsa ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi dia terjatuh, iaitu di Sungai Merbau, Kampung Sungai Kantan pada jam 7.47 malam, sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kajang pada jam 10 malam.
Difahamkan, dua beradik itu sedang bermain bola bersama rakan-rakan di padang berhampiran sebelum kejadian tidak dijangka berlaku.
Operasi SAR melibatkan pelbagai agensi kini diteruskan bagi mengesan mangsa yang masih hilang.










