Tragedi Bas UPSI: KPT Sedia Salur Bantuan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menyalurkan segala bentuk bantuan yang diperlukan kepada keluarga mangsa tragedi kemalangan bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), awal pagi tadi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dalam satu kenyataan di Facebook, menzahirkan ucapan takziah kepada semua yang terlibat.

“Salam takziah untuk keluarga mangsa kemalangan yang turut membabitkan warga UPSI. Maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut maklumat awal, kemalangan berlaku sekitar jam 1 pagi di Jalan Jeli – Gerik, berhampiran Tasik Banding, Perak, ketika bas yang membawa pelajar UPSI dalam perjalanan pulang ke kampus.

Seramai 13 mangsa disahkan maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.

Selain itu, tujuh lagi pelajar dilaporkan parah.

Kemalangan turut membabitkan sebuah kereta, namun butiran lanjut masih dalam siasatan pihak berkuasa.

KPT memaklumkan bahawa pihaknya akan bekerjasama rapat dengan UPSI dan agensi berkaitan bagi mengurus keperluan mangsa serta keluarga mereka, termasuk menyediakan sokongan kaunseling dan bantuan kebajikan.

Sementara itu, pihak polis dan pasukan penyelamat masih menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti punca sebenar tragedi.

BBerkaitan

Latest articles