KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin barisan kabinet Kerajaan Perpaduan terbentuk ini mampu menangani cabaran terbabit demi kepentingan Malaysia dan rakyatnya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam masa yang sama menggesa semua pihak menghentikan provokasi dan tindakan yang boleh mencetus kegusaran rakyat.
Ini supaya Kerajaan Perpaduan yang baru dibentuk dapat mendepani segala cabaran dihadapi negara.
“Namun dengan syarat semua pihak haruslah menghentikan provokasi dan tindakan untuk mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat.
“Usah diganggu ketenteraman dan perpaduan masyarakat serta usaha kerajaan untuk meningkatkan prestasi ekonomi negara selepas ini.
“Mari kita bersama sebagai rakyat Malaysia bermuafakat demi masa depan Malaysia yang lebih baik buat semua,” katanya melalui Facebook malam tadi.
Menjelaskan lebih lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata pengumuman barisan kabinet tersebut sebagai satu amanah dan taklif iaitu tanggungjawab yang sangat berat dalam suasana ekonomi dunia diramal amat mencabar tahun depan.
“Saya dengan rendah hati bersyukur kepada Allah SWT diatas pengumuman YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi.
“Terima kasih di atas kepercayaan Perdana Menteri kepada saya dan rakan-rakan dalam BN untuk berada dalam Kabinet.
“Amanah ini bukanlah ghanimah (harta rampasan perang), namun satu taklif iaitu tanggungjawab yang sangat berat dalam suasana ekonomi dunia diramal amat mencabar tahun depan.
“Tahniah diucapkan kepada semua yang terpilih dan semoga gandingan semua pihak ini akan menghasilkan kejayaan luar biasa kepada negara. Kita hentikan ketidakstabilan politik yang telah banyak merosakkan serta merencatkan kemakmuran Malaysia,” katanya.