KUALA LUMPUR: Lima kenderaan musnah dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah gerai menjual mercun di Jalan Dataran Cheras 6, Dataran Perniagaan Cheras, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata panggilan kecemasan diterima pada jam 9.53 malam tadi.
Antara kenderaan yang musnah akibat kebakaran itu adalah sebuah kenderaan serba guna (MPV) jenis Toyota Vellfire.
“Seramai 13 anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dengan bantuan BBP Serdang bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Ahmad Mukhlis berkata, siasatan awal mendapati empat kenderaan lain yang disambar api dalam kebakaran itu melibatkan dua kereta termasuk Perodua Bezza yang musnah 80 peratus dan Proton Saga BLM, 40 peratus kerosakan.
“Turut terbakar juga dua motosikal iaitu sebuah Yamaha Y15 (50 peratus) dan sebuah motosikal Honda EX5 (95 peratus),” katanya.
Dalam pada itu siasatan terhadap punca kebakaran masih belum dikenalpasti.