Tol Percuma Di Seluruh Negara Sempena Tahun Baru Cina 20, 21 Jan

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan tol percuma kepada pengguna lebuh raya di seluruh negara pada 20 dan 21 Januari sempena Tahun Baharu Cina.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tol percuma itu dinikmati oleh semua kelas kenderaan.

Menurut beliau, kemudahan itu hasil perbincangan bersama dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan syarikat konsesi.

“Berita baik. Saya dan Menteri Pengangkutan mengambil inisiatif berbincang dengan syarikat konsesi dan bersetuju supaya ditiadakan tol bagi 20 dan 21 hari bulan.

“Untuk meredakan (lebuh raya) kerana ramai yang akan pulang ke kampung. Bukan sahaja Cina tetapi Melayu, India dan lain-lain bersama-sama,” kata Anwar dalam sidang media hari ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra.

Anwar turut menasihatkan pengguna lebuh raya yang akan mengunakan lebuh raya pada musim perayaan supaya lebih berhati-hati.

“Cuma nasihat kita seperti biasa supaya jaga keselamatan jalan raya. Patuh peraturan dan elak berulang jumlah kemalangan yang kian meningkat setiap kali kita ada perayaan,” katanya.

Latest articles

Related articles

spot_img