Tok Mat Sanggah Dakwaan Hadi Kononnya UMNO Langgar Piagam MN

KUALA LUMPUR: Tidak perlu untuk PAS memaksa UMNO menerima BERSATU kerana ia bercanggah dengan piagam perjanjian Muafakat Nasional (MN).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menegaskan bahawa penubuhan MN bertujuan menentang Pakatan Harapan (PH) yang mana BERSATU pada ketika itu adalah komponen gabungan berkenaan.

“Tanpa terkurang rasa hormat saya kepada Tan Sri Presiden PAS, saya menegaskan bahawa pandangan beliau bahawa UMNO telah memungkiri piagam MN adalah tersasar sebenarnya.

“UMNO tidak pernah mungkir pada piagam MN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa UMNO telah memungkiri Piagam MN kerana enggan menerima BERSATU.

“Apalagi bila mengenangkan bagaimana BERSATU bersekongkol dgn DAP dalam menentang UMNO dan menumbangkan kerajaan pimpinan UMNO,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohamad berkata UMNO bersetuju dengan pandangan bahawa MN harus memayungi semua orang Melayu.

Bagaimanapun apa yang menjadi keutamaan adalah sesiapa jua yang ingin dibawa masuk mestilah serasi dengan kepentingan UMNO dan PAS.

Piagam MN pula mestilah ditafsirkan selari dengan realiti politik semasa UMNO dan PAS.

“Kerana itu UMNO tidak pernah mengajak PKR, Amanah, PUTRA atau pun Pejuang untuk menyertai MN walaupun mereka juga sebahagian daripada ummah yang berkepentingan. Jujurnya kerana UMNO tidak mahu menyinggung PAS.

“PAS dan seluruh Malaysia telah arif bahawa perwakilan dalam Perhimpunan Agong UMNO memutuskan bahawa UMNO tidak akan melakukan apa jua kerjasama dengan BERSATU. UMNO terikat dengan pendirian ini.

“Jadi amatlah munasabah untuk realiti ini difahami dan diterima, sebelum PAS mencadangkan keanggotaan baru dalam MN,” katanya.

Seterusnya, menurut Mohamad, Piagam MN adalah persefahaman yang tidak mengikat dan tidak didaftarkan kerana UMNO mahu orang Melayu melihatnya sebagai wadah untuk semua bukan instrumen politik UMNO dan PAS semata-mata.

“Jadi janganlah dek kerana UMNO tidak mahu menerima BERSATU, MN itu PAS tinggalkan. Kepentingan orang Melayu dan Islam itu jauh lebih besar daripada kepentingan BERSATU menyertai MN.

“Jadi, janganlah kita melakukan sesuatu yang akhirnya akan menjauhkan lagi orang Melayu daripada MN.

“Semoga Tan Sri Presiden PAS akan terus bersama UMNO dalam meneroka pelbagai dimensi baru dalam membangunkan keberdayaan bangsa Melayu, insya-Allah,” katanya.

Latest articles

Related articles

spot_img