Tok Mat Pun Kata Modal ‘Kluster Mahkamah’ Yang Dibawa Pembangkang Tak Lagi Relevan

KLUANG: Rakyat hari ini, terutama pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah semakin bijak menilai dan tidak mudah terpedaya cerita-cerita dongeng atau naratif pihak lawan kononnya pilihan raya diadakan semata-mata untuk menyelamatkan kumpulan kluster mahkamah.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan berkata apa jua dakyah pihak lawan terhadap sebilangan pemimpin UMNO tidak akan memberi kesan terhadap rakyat ketika ini.

“Saya sudah tanya banyak kali, kalau pun kita menang di Johor apa pula kena mengena dengan kluster mahkamah? Adakah kumpulan ini bertanding di Johor? Tidak. Apakah hakim akan terpukau menang di Johor? Tidak ada.

“Menang besar di Melaka, Datuk Najib (Razak) kena juga. Datuk Zahid (Hamidi) juga diarahkan untuk bela diri. Banyak orang kata bila pemimpin jadi perdana menteri, tuduhan terhadap Datuk Najib, Datuk Zahid akan digugurkan seperti kes Lim Guan Eng yang digugurkan kesnya lepas PH (Pakatan Harapan) menang.

“Tidak ada pun. Sebab apa dia (parti lawan) buat macam itu? Kerana mereka tidak ada modal lain. Itu sahaja modalnya, hendak janji apa lagi pada PRN ini? Adakah mereka hendak janji hendak buat lebuh raya dari Johor ke Sumatera pula ke?

“Apa lagi mereka boleh janji? Tidak ada apa. Hendak tawar tol hapus lagi? Jadi ini sahaja naratif kluster mahkamah yang sudah guna pakai empat tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan jentera di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Machap hari ini.

Mohamad menambah, fitnah sedemikian yang dilemparkan kepada UMNO dan pemimpinnya hanyalah untuk mengaburi kegagalan pihak pembangkang terhadap janji-janji mereka sepanjang menjadi kerajaan pusat suatu ketika dahulu.

Begitu juga dengan ketidakmampuan janji-janji mereka terhadap pengundi setiap kali berlakunya PRN.

“Rakyat sudah celik, mereka juga tahu. Pelbagai janji yang dibuat, contohnya di kawasan ini kononnya jika PH menang tol Simpang Renggam akan dihapuskan. Rasanya ada lagi.

“Janji-janji mereka juga sudah diketahui oleh rakyat hanya cakap kosong raih undi.”

BBerkaitan

Latest articles