KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO , Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui bahawa parti itu masih berdepan kesukaran untuk meraih sokongan orang Melayu.
Begitu juga dalam usaha menawan kepercayaan golongan muda, seperti yang dilihat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, dua hari lalu.
Sehubungan itu, Mohamad menggesa tindakan perlu dilakukan UMNO dalam usaha mengembalikan kegemilangan parti seperti sebelum ini.
“Sesuatu harus dilakukan segera. Generasi muda berpotensi untuk dimenangi dan diraih sokongan mereka. Hanya kaedahnya mesti sesuai citra, aspirasi dan keperluan kehidupan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata tugas mengembalikan kepercayaan orang Melayu ke pangkuan UMNO adalah sukar tetapi bukan mustahil.
“Tetapi buat masa ini, UMNO mesti menerima realiti orang Melayu masih jauh daripada mempercayainya sebagai wakil politik mereka yang berkesan,” katanya lagi.
Sabtu lalu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas di dalam PRK Parlimen Kemaman apabila calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu menewaskan calon BN, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan majoriti 37,220 undi.
Bercakap berkenaan hal itu juga, Mohamad berkata PRK Kemaman memberi gambaran bahawa usaha untuk mengimbangi politik perkauman dan agama adalah sukar dan kompleks.
Beliau menegaskan, bukan mudah untuk menghadirkan pilihan jalan politik sederhana kerana ideologi pelampau kanan, retorik perkauman dan agama, semuanya sangat mudah untuk dimanfaatkan bagi meraih populariti.
Sehubungan itu, UMNO tidak boleh tergelincir dari landasan kesederhanaan kerana ia benteng penting untuk Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
“Ia hanya menewaskan UMNO tetapi tidak sesekali mematikan UMNO. Ia adalah pertandingan dalam liga demokrasi yang ada menang dan tewas.
“UMNO hanya tewas, seperti pelbagai kekalahan yang pernah ia lalui. Di lain ketika, pasti akan ada kemenangan untuk UMNO,” katanya.