Tok Mat Berdepan Empat Calon Lain Di Rembau

REMBAU: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan disaingi empat calon lain dalam pertandingan merebut kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Buat pertama kalinya, beliau mewakili Barisan Nasional (BN) menerima cabaran daripada calon Pakatan Harapan (PH) Jufitri Joha dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Nazree Mohd. Yunus.

Selain itu, dua calon lain, iaitu calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Ramly Awalludin dan wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Tinagaran.

Pengumuman dibuat oleh Pegawai Pengurus Bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Rembau, Mohamad Najib Mustafa di Pusat Penamaan Calon, Dewan Sri Rembau pada pukul 10.30 pagi tadi.

Mohamad Najib ketika pengumuman juga berpuas hati selepas menyemak kertas-kertas penamaan dan tidak ada calon yang ditolak pencalonan.

Sementara itu, calon BN, Mohamad Hasan berkata, selepas selesai proses penamaan, beliau berharap proses seterusnya iaitu kempen pilihan raya dapat berjalan dengan tersusun dan teratur.

“Kami tidak mahu mengusik sesiapa kerana tujuan kita mengadakan pilihan raya ini adalah untuk memilih parti yang akan diberikan mandat oleh rakyat untuk menubuhkan kerajaan, iaitu kerajaan yang mesti mantap dan stabil,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerusi Parlimen Rembau dimenangi oleh Khairy Jamaluddin dengan majoriti 4,364 undi.

Khairy mendapat sebanyak 36,096 undi menewaskan calon PKR, Lt. Kol. (B) Roseli Abdul Ghani yang mendapat 31,732 undi manakala calon Pas, Mustafa Dolah memperoleh 6,028 undi.

Terdapat seramai 133,555 orang pemilih berdaftar di Parlimen Rembau dengan meliputi pengundi Melayu sebanyak 73.62 peratus, India, 15.9 peratus, pengundi Cina sebanyak 8.76 peratus.

BBerkaitan

Latest articles