More

    Tok Mat Anggap Langkah Semak Semula Kadar Kemiskinan Satu Langkah Penting

    Had pendapatan kemiskinan dalam negara kini sudah diletakkan pada kadar RM2,208 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang menyemak semula Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

    Berdasarkan angka itu, jumla gaji minimum negara iaitu RM1,200 dan RM1,000 sekarang dilihat tidak lagi bersesuaian dengan keadaan ekonomi ketika ini.

    Had kemiskinan itu jauh lebih tinggi berbanding garis asal iaitu RM980 yang digunapakai sejak tahun 2005.

    Kadar baharu itu menyebabkan jumlah isi rumah dengan pendapatan miskin di dalam negara meningkat mendadak daripada hanya 196,653 isi rumah pada 2005 kepada 405,441 isi rumah dengan menjadikan kadar kemiskinan pada tahun lepas kepada 5.6 peratus.

    BACA JUGA115 Warga Asing Tunggu Ujian Saringan Ulangan Sebelum Dihantar Pulang

    Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan sependapat dan menyokong kadar terkini itu dan menganggap usaha menyemak semula kadar kemiskinan adalah satu langkah penting.

    “Semenjak pra-pandemik Covid-19 lagi, garis kemiskinan di Malaysia sememangnya dirasakan terlalu rendah dan tidak selari dengan kos kehidupan di negara ini.

    “Oleh itu, saya menyokong tindakan Jabatan Perangkaan Malaysia yang telah menyemak semula Had PGK.

    “Tindakan menyemak semula kadar kemiskinan adalah langkah penting untuk menggambarkan REALITI tahap kemiskinan sebenar di Malaysia.

    “Namun, tinjauan Pendapatan Isi Rumah yang digunakan sewajarnya juga mengambil kira realiti kebanyakan komuniti yang berisiko dihimpit masalah itu.

    “Seperti olongan masyarakat asal, pekerja asing dan orang pelarian sebagai sebahagian daripada asas kiraan kemiskinan.

    “Jika golongan tersebut diambilkira, maka kadarnya adalah lebih tinggi dari kadar 5.6 peratus.” katanya dalam laman Facebooknya hari ini mengulas berkenaan isu.

    Menurutnya, krisis akibat wabak pandemik Covid-19 semakin meruncingkan lagi keadaan ekonomi negara.

    Justeru, beliau menggesa kerajaan memberi perhatian khusus kepada masyarakat miskin bandar dan luar bandar.

    “Adalah sangat penting ikhtiar tersebut memberikan perhatian khusus bukan sahaja kepada usaha merancakkan ekonomi dan menyelamatkan perniagaan.

    BACA JUGAAl Jazeera Reka Cerita, Frontliners Merawat Sesiapa Sahaja Termasuk PATI. Adakah Ini Zalim?

    “Tetapi juga mengemukakan strategi baharu bagi membasmi kemiskinan.

    “Malah, Bank Dunia telah menganggarkan secara konservatif bahawa 11 juta penduduk di Asia Timur akan terheret ke kancah itu akibat keruntuhan ekonomi.

    “Strategi pemulihan dan pembinaan ketahanan ekonomi Malaysia mestilah bersifat inklusif dan menterjemahkan kesejahteraan dengan erti kata yang sebenar.

    “Perhatian khusus mesti diberikan kepada dua golongan sasaran; iaitu masyarakat miskin bandar dan luar bandar.

    “Kita perlu sedar bahawa cabaran-cabaran yang dihadapi kedua-dua pihak ini adalah berbeza.

    “Masyarakat miskin bandar perlu berhadapan dengan krisis kehilangan pekerjaan dan masalah kelangsungan kehidupan kerana kos kehidupan yang mencabar.

    “Mereka yang miskin di kawasan luar bandar pula dibelenggu dengan masalah harga komoditi yang suram, akses kepada pasaran dan produktiviti yang rendah kerana tiadanya innovasi,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Negeri Sembilan itu memaklumkan pengklasifikasian kumpulan B40, M40 dan T20 akan menjadi lebih sukar.

    Katanya, parameter tersebut akan bertindih dan peningkatan kadar kemiskinan pula merentasi kaum.

    “Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas tahun 2019 menunjukkan bahawa Etnik Bumiputera dan Etnik India mencatatkan insiden kemiskinan mutlak 7.2 peratus dan 4.8 peratus.

    “Ia jauh lebih tinggi daripada Etnik Cina dengan insiden kemiskinan 1.4 peratus,” ujarnya

    Malah, katanya lagi, beliau tidak menjangkakan negara perlu merancang dan menyusun semula dasar pembasmian kemiskinan negara walaupun sudah memasuki abad ke-21.

    Menurutnya, semua lapisan masyarakat akan merasai impak dan yang paling jelas adalah golongan profesional, pendidikan, sosial yang tiada kewangan kukuh terutama pekerja bergaji.

    “Satu-satunya kumpulan kelas menengah yang boleh bertahan ialah penjawat awam.

    “Mengambilkira semua ini, Malaysia sekali lagi memerlukan dasar membasmi kemiskinan dengan strategi yang lebih tuntas.

    “Dasar membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat harus difikirkan segera, merangkumi strategi fokus kepada pemerkasaan (empowerment) dan berasaskan keperluan (needs based).

    “Strategi seperti ini adalah penting bagi mengelakkan berlakunya kesilapan lepas yang hanya mengenal pasti kaum tertentu sahaja.

    “Saya tidak pernah menjangka wujudnya suatu masa di mana Malaysia memerlukan dasar membasmi kemiskinan dan menyusun semula masayarakat.

    “Namun, inilah realitinya dalam tahun 2020.

    “Kita akhirnya tidak mencapai status negara maju tetapi terus berhadapan dengan pelbagai cabaran mengatasi kesenjangan dan kemiskinan,” katanya.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini