Tok Mat Akui Ada Ahli Keluar Parti, Tapi Tak Sampai Dua Juta Seperti Didakwa

KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa diingatkan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berkenaan parti lamanya, iaitu UMNO.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan turur menolak dakwaan bekas Ketua Penerangan UMNO itu kononnya seramai dua juta penyokong UMNO meninggalkan parti tersebut.

“Saya tak tahu dari mana dia dapat angka tersebut. Kalau setakat mendakwa saya pun boleh kata ada dua juta orang yang masuk jadi ahli UMNO. Maka, terpulanglah, kalau syok sangat pun, janganlah sampai begitu sekali, orang boleh fikir.

“Itu berbahaya… (tapi) dia boleh cakap apa sahaja. Memang ada yang keluar, ada mengikut (Annuar) dan ada kecewa (dengan kerjasama Barisan Nasional-Pakatan Harapan) tapi tidaklah sebesar itu jumlahnya. Biarlah orang kata berwaspada dan munasabah,” kata Mohamad kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam anjuran Badan Perhubungan UMNO Terengganu, malam tadi.

Terdahulu, Anwar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh mendakwa UMNO telah kehilangan lebih dua juta penyokong sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 lagi.

Kenyataan itu dibuat ketika berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Perikatan Nasional (PN) di Senawang, Negeri Sembilan, minggu lalu.

Annuar kini bersama PAS.

Sementara itu, ditanya mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri tidak lama lagi, Mohamad, yang juga Menteri Pertahanan yakin kemenangan di negeri-negeri di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan mampu dipertahankan.

“Isunya sekarang ialah nak pastikan supaya Barisan Nasional dapat bertapak semula dan juga kalau boleh di negeri macam Terengganu dan Kedah.

“Dengan syarat kita kerja kuat, kita tak bertelingkah antara satu sama lain dan masuk PRN dengan strategi tepat… pilih calon yang boleh menangkan kita dan letak calon yang tak dapat dipersoalkan kredibilitinya,” katanya.

Enam negeri yang akan berdepan dengan PRN ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

BBerkaitan

Latest articles