Tok Mat Akan Dikenakan Kompaun Kesalahan Merokok Di Restoran – Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengenakan tindakan terhadap Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan atas kesalahan merokok di sebuah premis makanan, Ahad lalu.

Dr Dzulkefly menerusi ciapan di akan X miliknya berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban akan menyerahkan notis kompaun terhadap Mohamad Hasan atas kesalahan tersebut.

Beliau berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak Menteri Luar tersebut.

“Hari ini pegawai diberikuasa dari PKD Seremban akan berjumpa YBM Tok Mat untuk notis kesalahan dan diberikan kompaun.

“Jujurnya, YBM DS Mohamad Hassan sendiri minta KKM isukan kompaun ke atas kesalahan tersebut dan beliau memberitahu saya, kompaun akan dibayar,” katanya.

Terdahulu, tular sekeping gambar di aplikasi X, Ahli Parlimen Rembau itu menghisap rokok di premis makanan yang jelas melanggar Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Ciapan itu kemudian menerima respons orang ramai yang mahu memastikan tindakan diambil terhadap kesemua pihak tanpa mengira status dan latar belakang.

Dr Dzulkefly dalam hantaran berasingan di X berkata, KKM berpegang kepada prinsip tiada pihak lebih berkuasa daripada undang-undang.

“Setelah Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awan, 2024) berkuatkuasa pada 1 Oktober lalu, saya berpegang kepada prinsip bahawa ‘tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang’,” katanya.

Peraturan 11 di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 menyatakan bahawa sesiapa yang didapati bersalah merokok di kawasan larangan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun.

BBerkaitan

Latest articles