TNB, Prasarana Lantik Mahdzir, Tajuddin Sebagai Pengerusi

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mhadzir Khalid dilantik sebagai Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkuatkuasa 12 Mei depan.

Jawatan itu sebelum ini dipegang oleh Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir yang kini dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam satu kenyataan rasmi TNB, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan berkata lembaga pengarah, pengurusan serta seluruh warga kerja TNB mengalu-alukan pelantikan Mahdzir sebagai pengerusi baru.

“Dalam suasana yang mencabar ketika ini, kami yakin kepimpinan beliau dapat membantu TNB mengharungi cabaran semasa serta mencapai aspirasi transfomasi syarikat ke arah menjadi antara 10 firma utiliti utama dunia menjelang 2025.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Badri yang sebelum ini adalah Ahli Lembaga Pengarah TNB mewakili Kementerian Kewangan sejak 2018,” katanya.

Mahdzir pernah menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau & Air dari Mei 2013 hingga Julai 2015, sebelum memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan sehingga 2018.

Beliau juga adalah bekas Menteri Besar Kedah dari Disember 2005 hingga Mac 2008. Beliau merupakan Ahli Parlimen Padang Terap.

Sementara itu Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Pasir Salak dilantik sebagai Pengerusi Prasarana.

Sebelum ini beliau merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Latest articles

Related articles

spot_img