TNB Beri Jaminan Masalah Bil Elektrik Akan Selesai Secepat Mungkin

Ketua Pegawai Runcit Tenaga Nasional Berhad (TNB), Megat Jalaluddin Megat Hassan memberitahu pihaknya sedang dan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Suruhanjaya Tenaga untuk mencari jalan penyelesaian terbaik berkenaan kenaikan bil elektrik.

Sejak kebelakangan ini, dapat dilihat di media sosial pengguna mengadu berkenaan caj elektrik yang melambung.

Megat Jalaluddin berkata penggunaan elektrik domestik yang tinggi berlaku sepanjang tempoh kawalan pergerakan (PKP), mengambil kira keadaan ramai yang perlu bekerja di rumah dan anak-anak yang tidak bersekolah.

Malah pengiraan bil elektrik itu, tegasnya tidak dilakukan secara ‘lumpsum’, sebagaimana yang didakwa oleh ramai pihak.

Kaedah prorata yang digunakan TNB turut dipersetujui kementerian dan suruhanjaya.

“TNB menggunakan kaedah prorata untuk kiraan bil selama tiga hingga empat bulan.

“Kaedah prorata ini kita akan bahagikan bacaan kepada setiap bulan. Contoh bacaan 1,400 kWj dibahagikan kepada empat bulan, dan bacaan sebulan akan dapat 350 kWj. Selepas dapat bacaan sebulan barulah didarab dengan tarif domestik,” katanya di sesi taklimat di kementerian itu semalam.

Menyedari masalah yang dihadapi pengguna, Megat Jalaluddin memberi jaminan sekali lagi berkenaan moratorium pemotongan bekalan elektrik sehingga 31 Julai depan.

“Usah risau, jika anda tidak boleh membayar bil elektrik sepenuhnya, kita tetap benarkan anda membayar secara ansuran.

“Walaupun bayaran secara ansuran, kami tidak akan potong bekalan elektrik sehingga 31 Julai,” ujarnya.

Untuk rekod, TNB mengumumkan kebenaran pembayaran secara berperingkat sehingga 31 Disember 2020, surcaj lewat bayar ditangguh sehingga 30 September manakalan penangguhan pemotongan bekalan sehingga 31 Julai.

Megat Jalaluddin dalam pada itu berkata, TNB hanya agensi pelaksana dan tidak mempunyai kuasa untuk memberi diskaun dan penurunan tarif.

“Suruhanjaya Tenaga akan berbincang dengan kementerian jika adanya perubahan kadar tarif atau tawaran diskaun. Jika ia diputuskan maka barulah kami boleh laksanakannya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles