TMJ Persoal FIFA: “Siapa di New York?”

JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) membangkitkan persoalan berhubung keputusan mengejut Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mengenakan sekatan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain skuad kebangsaan kerana didakwa terbabit dalam pemalsuan dokumen.

Menurut TMJ, FAM sudah mengikuti semua prosedur ditetapkan, malah pihak FIFA sendiri sebelum ini memberi kelulusan bahawa pemain terbabit layak beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

“Apa yang berlaku sampai tiba-tiba ada keputusan macam ini? Adakah ada entiti luar yang mempengaruhi FIFA? Hukuman dijatuhkan tanpa alasan jelas, malah diumumkan kepada umum walaupun proses rayuan belum selesai.

“Who was in New York?” soal baginda dalam satu hantaran di media sosial, hari ini, yang turut disertakan surat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

TMJ menegaskan, FAM tidak boleh tunduk dengan tekanan luar dan perlu membuat rayuan segera.

“Takkan kita takut dengan individu yang bimbang melihat kebangkitan Harimau Malaya. Lawan tetap lawan, berani kerana benar,” tegasnya.

Semalam, FIFA dalam satu kenyataan rasmi memaklumkan bahawa FAM didapati bersalah mengemukakan dokumen palsu berkaitan kelayakan pemain untuk beraksi dalam perlawanan rasmi.

Susulan itu, tujuh pemain kebangsaan digantung iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Namun, FAM segera memberi maklum balas dan menegaskan pihaknya tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan mengemukakan rayuan menerusi saluran undang-undang bagi mempertahankan hak pemain serta maruah bola sepak negara.

BBerkaitan

Latest articles