TMJ Dakwa FIFA Bermotif Politik, FAM Bawa Isu Ke Mahkamah Sukan Dunia

KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya adalah tidak berasaskan undang-undang, sebaliknya bermotif politik.

Baginda menzahirkan kekecewaan terhadap keputusan badan induk bola sepak dunia itu yang disifatkan menghukum pemain tanpa merujuk kepada peruntukan sebenar dalam kod tatatertib FIFA.

“Artikel 22 FIFA jelas menyebut hanya individu yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan. Dalam kes ini, perkara itu langsung tidak terpakai kepada para pemain,” titah baginda dalam kenyataan dimuat naik di laman Facebook rasmi HRH Crown Prince of Johor.

Jelas baginda lagi, keputusan tersebut dilihat “tidak adil” dan lebih bermotifkan tekanan politik berbanding alasan undang-undang.

“Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising, tetapi saya memilih untuk berdiri dan berjuang habis-habisan untuk pemain,” tegas baginda sambil memaklumkan kes itu akan dibawa ke Court of Arbitration for Sport (CAS), sebuah badan timbang tara sukan bebas.

Sementara itu, Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan FIFA menolak rayuan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen kelayakan tujuh pemain warisan kebangsaan.

Katanya, FAM akan menulis kepada FIFA untuk mendapatkan alasan bertulis keputusan tersebut sebelum mengemukakan rayuan rasmi ke CAS.

FIFA sebelum ini mendapati FAM menyerahkan dokumen palsu bagi pengesahan kelayakan tujuh pemain iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

Akibatnya, FAM didenda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala tujuh pemain berkenaan digantung selama 12 bulan.

Mohd Yusoff mengakui keputusan itu mengejutkan kerana ini kali pertama FAM berdepan situasi seumpama itu, namun menegaskan badan induk bola sepak negara akan terus memperjuangkan hak pemain dan maruah Malaysia di pentas antarabangsa.

BBerkaitan

Latest articles