Pengasas Bersama Revenue Group Berhad Mengaku Tidak Bersalah Lupus Kenderaan Syarikat Secara Haram

KUALA LUMPUR: Dua pengasas bersama Revenue Group Bhd mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen di sini hari ini atas pertuduhan penipuan pelupusan aset milik syarikat itu tanpa resolusi daripada lembaga pegarahnya lima tahun lalu. 

Tertuduh yang juga dua beradik, Brian Ng Shih Chiow, 50 dan Dino Ng Shih Fang, 47 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca terhadap mereka di hadapan majistret Rozana Ayob. 

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh dengan curangnya menyebabkan pegawai CIMB Bank Berhad, Lee Pei Yee, melupuskan suatu harta iaitu sebuah Toyota Vellfire milik syarikat itu tanpa resolusi ahli lembaga pengarah syarikat dengan mendaftarkan kereta tersebut atas nama Dino. 

Kesalahan itu dilakukan di Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Lot 14264, Jalan Genting Kelang, Setapak, pada 3 Oktober 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun serta sebat dan denda jika disabitkan kesalahan. 

Susulan pengakuan tidak bersalah oleh kedua-dua beradik itu, Timbalan Pendakwa Raya Low Chin How menawarkan jaminan RM20, 000 bagi setiap tertuduh, selain passport diserahkan kepada mahkamah. 

Bagaimanapun, peguam bela yang mewakili kedua tertuduh Amir Hamzah Arshad meminta bon jaminan sendiri atas alasan Dino dan Brian telah memberi kerjasama ketika siasatan dilakukan. 

“Ini kerana ini bukan satu kesalahan; apa yang sebenarnya berlaku ialah pertikaian korporat yang berterusan antara ahli lembaga yang berpecah dalam dua kem berasingan,” katanya.

Beliau juga menyebut kumpulan yang dipanggil “mafia korporat” yang didakwa merancang untuk “merampas” syarikat berkenaan dan itulah sebab mengapa kedua-dua beradik ini dituduh.

“Walaupun media melaporkan berita mengenai ‘mafia korporat’ yang melakukan pengambilalihan tersebut menyebabkan mereka (kedua-dua beradik) diserang,” kata Amir Hamzah.

Amir Hamzah juga mendakwa kumpulan mafia Korporat  itu juga telah telah membuat aduan kepada Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah untuk menentang kedua beradik itu. 

Namun hakim berkata itu adalah dakwaan semata-mata kerana tidak ada afidafit yang difailkan  ataupun laporan kepada Polis mengenai perkara itu. 

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 14 April depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, peguam yang mewakili tertuduh, Dzulkifli Ahmad ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya akan memfailkan representasi kepada peguam negara untuk meneliti kes ini secara keseluruhannya memandangkan kes ini melibatkan kepentingan awam dan syarikat senarai awam. 

Katanya, kes seperti ini akan memberi implikasi yang besar kepada pasaran saham Malaysia terutama pelabur yang mahu melabur dalam pasaran saham negara. 

“Kalau tidak dikendalikan dengan betul dan cermat ia akan memberi perspektif yang tidak betul dan akan menyebabkan pelabur-pelabur takut untuk melabur dalam pasaran saham Malaysia. 

“Ini bukan kes yang pertama kita telah melihat terdapatnya beberapa kes sebelum ini yang berlaku sedemikian. Kita tiada masalah untuk berlakunya pertukaran atau perselisihan…namun apabila ia melibatkan agensi penguatkuasaan ini yang amat kita bimbangkan.

“Jadi kita tidak mahu agensi penguatkuasa ini dilihat seolah-olah berpihak kepada pihak yang bertelingkah di dalam sesuatu syarikat itu sendiri,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles