KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memfailkan prosiding komital (penghinaan mahkamah) terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, dengan mendakwa beliau telah menghina mahkamah berhubung isu titah adendum yang dikaitkan dengan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Permohonan tersebut difailkan melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co. pada Rabu lalu, yang juga merupakan wakil peguam Najib dalam kes-kes berkaitan.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Tetuan Shafee & Co. memaklumkan bahawa pihak mereka telah menerima arahan daripada Najib sejak Januari 2024 untuk memulakan prosiding penghinaan terhadap Ahmad Terrirudin.
“Pada 20 Januari, satu surat telah dihantar kepada beliau (Ahmad Terrirudin) menuntut penjelasan mengapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan atas dakwaan gagal melaksanakan titah adendum tersebut,” kata kenyataan itu.
Tambah firma itu, pada April lalu mereka menerima cadangan daripada Peguam Negara kini agar mempertimbangkan semula tindakan tersebut.
Namun, Najib tetap bertegas untuk meneruskannya.
Menurut kenyataan itu, asas kepada permohonan ini adalah berhubung titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dikatakan telah disampaikan kepada Najib melalui anaknya, Datuk Mohamad Nizar.
Majlis Kesultanan Pahang turut disahkan telah mengesahkan ketulenan titah tersebut menerusi surat rasmi bertarikh 4 Januari lalu.
Titah berkenaan difahamkan merujuk kepada penahanan di rumah (house arrest) yang sepatutnya menggantikan pemenjaraan Najib di Penjara Kajang.
“Titah itu secara jelas ditujukan kepada Ahmad Terrirudin, dalam kapasitinya sebagai Peguam Negara ketika itu, untuk melaksanakan arahan tersebut,” ujar kenyataan itu.
Najib mendakwa Ahmad Terrirudin sengaja mengarahkan pegawainya untuk mengelirukan Mahkamah Tinggi dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkannya, dan menyatakan seolah-olah tiada titah yang wujud, meskipun didakwa mengetahui perkara sebenar.
Najib berpendapat bahawa tindakan Ahmad Terrirudin itu merupakan pelanggaran prinsip “duty of candour” atau kewajipan penjawat awam untuk telus terhadap mahkamah.
“Kegagalan mendedahkan fakta dan dokumen relevan kepada mahkamah adalah satu halangan terhadap keadilan dan menjejaskan kepercayaan awam terhadap sistem kehakiman,” katanya.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa sebagai seorang yang kini memegang jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin wajar diberikan peluang untuk menjawab tuduhan serius itu secara terbuka dan adil di mahkamah.
Turut disebut kenyataan itu, Tetuan Shafee & Co. menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi awam, sebaliknya membiarkan mahkamah menjalankan tanggungjawabnya secara bebas dan telus.