Titah Adendum: Mahkamah Persekutuan Tolak Bantahan Awl Najib, Rayuan AGC Didengar Esok

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak bantahan awal Datuk Seri Najib Razak untuk mengenepikan rayuan Peguam Negara terhadap keputusan berkaitan titah adendum yang didakwa membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim bersama Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Mahkamah memutuskan tujuh persoalan undang-undang yang dibangkitkan Peguam Negara, termasuk isu bukti tambahan dan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, adalah penting untuk diputuskan serta bukan sekadar akademik atau hipotesis.

“Kami berpendapat semua persoalan yang dikemukakan relevan dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan (berkaitan kuasa memberi pengampunan),” kata Hasnah.

Susulan keputusan itu, rayuan Peguam Negara akan didengar esok.

Najib sebelum ini memfailkan semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya beliau dapat menjalani baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman itu.

Kemudian pada 28 April, mahkamah sama membenarkan Peguam Negara merayu keputusan tersebut dengan mengetengahkan tujuh persoalan undang-undang berkepentingan awam.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan menyeleweng RM42 juta dana SRC International. Hukuman asal 12 tahun telah dikurangkan kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan.

BBerkaitan

Latest articles