Tingkat Tahap Keselamatan Di Masjid – Menteri Agama

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap seorang individu yang dipercayai mencabul seorang kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, Selangor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil bagi memberi pengajaran kepada masyarakat serta mempertingkatkan kawalan keselamatan di masjid dan surau.

“Kejadian ini merupakan kes berunsur jenayah dan mesti dipandang serius. Saya menyokong tindakan EXCO Hal Ehwal Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Muhammad Fahmi bin Ngah, yang telah melaporkan kejadian ini kepada Ketua Polis Selangor. Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan segera dan semua pihak diseru bertenang serta menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, seorang remaja lelaki tempatan berusia 19 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu selepas rakaman video dari kamera litar tertutup (CCTV) masjid tersebar di media sosial sekitar jam 8.19 pagi.

Insiden berlaku ketika mangsa sedang sujud menunaikan solat Subuh di bahagian belakang ruangan solat wanita.

Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki berkopiah putih menyelinap masuk sebelum bertindak memeluk dan membawa keluar mangsa dari kawasan tersebut.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles