Tinggalkan PN ? Ini Penjelasan Ketua Pemuda UMNO

PARTI UMNO akan terus mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional hingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan kerajaan yang berpaksikan Islam dan bumiputera mampu memulihkan segala kerosakan yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan.

Tindakan mempertahankan kerajaan PN juga diambil bagi memastikan nasib rakyat berbilang kaum mampu dibela terutamanya pasca Covid-19 yang mula merubah lanskap kehidupan ekonomi dan sosial masyarakat.

“UMNO tetap teguh berpendirian mempertahankan Kerajaan PN yang terbentuk hasil kerjasama UMNO dan komponen Barisan Nasional, rakan Muafakat Nasional UMNO iaitu PAS, dan Gabungan Parti-parti Sarawak (GPS).

“Komitmen UMNO ketika menyokong pencalonan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac lalu adalah bagi menyelamatkan negara daripada terus terbelenggu dengan krisis politik yang tercetus lantaran kemelut berterusan perebutan jawatan Perdana Menteri di kalangan kepimpinan tertinggi parti-parti PH,” kata Asyraf Wajdi melalu laman facebook rasminya.

Beliau menegaskan perkara itu bagi menjawab pertanyaan daripada pelbagai pihak berikutan laporan portal Malaysiakini yang mencetuskan kekeliruan seolah-olah UMNO mahu meninggalkan Kerajaan PN.

Kerajaan PN terbentuk hasil kerjasama UMNO dan komponen Barisan Nasional, rakan Muafakat Nasional UMNO dan PAS, Bersatu dan Gabungan Parti-parti Sarawak (GPS).

Jelas Asyraf Wajdi sehingga hari ini PN kekal sebagai sebuah gabungan ahli-ahli Parlimen yang mewakili dan membawa mandat parti-parti politik masing-masing dalam membentuk kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin

“Tidak pernah timbul UMNO mahu meninggalkan PN kerana rata-rata ahli dan rakyat keseluruhannya amat bersyukur dengan pembentukan kerajaan ini yang berjaya menyelamatkan negara daripada krisis politik yang meruncing.

“Sekaligus membebaskan negara daripada parti DAP dan kerakusan PKR yang hanya memfokuskan perjuangan sejak dari awal penubuhannya untuk menaikkan presidennya sebagai perdana menteri,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, cadangan pembentukan PN secara rasmi seharusnya melalui proses seperti pembentukan Muafakat Nasional yang mengambil masa yang panjang sebelum dimuktamatkan.

Menurut beliau, tidak mudah untuk parti-parti politik khususnya UMNO dan PPBM untuk mewujudkan sebuah gabungan sebagaimana BN mahupun MN kerana kebanyakan ahli-ahli Parlimen PPBM merupakan mereka yang dahulunya menang PRU-14 atas tiket parti UMNO-BN sebelum melompat parti.

“Keputusan untuk mendaftarkan PN secara rasmi juga perlu mengambil kira krisis dalaman PPBM ketika ini yang mengundang persoalan sejauh mana PPBM mampu bertahan dalam PN.

“Terutamanya setelah pendirian rasmi dikeluarkan Pengerusi PPBM sendiri dan sayap parti PPBM ARMADA yang menolak kerjasama dengan UMNO dan mahu kembali kepada PH. Presiden PPBM juga sedang dicabar anak kepada Pengerusi PPBM sendiri dalam pemilihan parti mereka akan datang,” jelas Asyraf Wajdi lagi – TRI

BBerkaitan

Latest articles