Tindakan Pinda Akta Pertubuhan 1966 Akhirnya ‘Makan Diri’ Tun M

Bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan mengheret isu pelucutan keanggotaannya ke mahkamah kerana tidak akan memberi kemenangan buat dirinya.

Menurut bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, ini kerana Dr Mahathir sendiri telah meminda Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan parti ketika dirinya menjadi perdana menteri keempat.

“Pindaan ini secara terang menyatakan keputusan parti adalah muktamad dan tidak boleh dicabar dalam mana-mana mahkamah.

“Jika bawa ke mahkamah maka keahlian parti dia akan dibatalkan secara automatik seperti ditulis dalam undang-undang negara serta perlembagaan parti,” demikian memetik kenyataan Najib hari ini.

Pindaan itu dilakukan Dr Mahathir berdasarkan keputusan pemilihan parti dan jawatan presiden Umno pada tahun 1987 yang menyaksikan Dr Mahathir menerima tentangan daripada Tengku Razaleigh Hamzah.

“Akibatnya, Umno lama terpaksa dibubarkan setelah diharamkan oleh mahkamah tinggi pada tahun seterusnya.

“Masa dia tubuhkan Umno baru untuk ganti Umno, dia pinda Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 serta perlembagaan parti untuk elak dia dicabar dalam mahkamah sekali lagi,” kata Najib lagi.

Menerusi Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 menyatakan bahawa keputusan sesuatu parti politik atau perlembagaan parti adalah muktamad dan konklusif.

Yang mana keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayu, dikaji, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

Malah, ia turut menyatakan, tidak ada mana-mana mahkamah mempunyai bidang kuasa, melayani atau memutuskan apa-apa guaman, permohonan atau prosiding atas apa-apa alasan berkenaan dengan kesahan keputusan itu.

Pelucutan keanggotaan Dr Mahathir dan empat yang lain, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah dimaklumkan menerusi surat yang ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya.

Terdahulu kelima-lima mereka mengambil pendirian bertentangan dengan keputusan Bersatu untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan duduk di blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

BBerkaitan

Latest articles